TERTUDUH di Mahkamah Majistret Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


DUA lelaki berdepan hukuman mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret Kluang, hari ini atas pertuduhan menculik peniaga nasi ayam dan memeras RM130,000 daripada keluarga mangsa.

Tertuduh, B Haresh, 26; MJ Richardass, 28; dan seorang lagi suspek yang masih diburu didakwa melakukan perbuatan itu ketika mangsa yang berusia 32 tahun dalam perjalanan ke rumahnya di Simpang Renggam, kira-kira 6 pagi, 29 Jun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua tertuduh.

Timbalan Pendakwaraya Mohamed Afiq Zuber memohon kepada mahkamah tarikh baru bagi membolehkan laporan termasuk kimia dan perubatan mangsa diperolehi.

Majistret Muhammad Hidayat Wahab menetapkan 7 Ogos ini bagi tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham ketika dihubungi hari ini berkata, dalam kejadian 29 Jun lalu, mangsa diekori kereta berwarna unggu selepas menghantar ibunya ke pasar Simpang Renggam.

"Suspek menahan mangsa dengan mengacukan pisau dan menarik pengadu ke dalam kereta suspek.

"Mangsa dipukul dan kedua tangannya diikat dan dia dibaringkan di bahagian belakang kereta berkenaan.

"Suspek merampas wang tunai RM1,000 yang ada dalam simpanan mangsa. Seterusnya saspek meminta mangsa menghubungi keluarganya bagi meminta wang tebusan RM150,000 untuk melepaskan mangsa.

"Keluarganya hanya sempat mengumpul wang tunai RM130,000 dan suspek bersetuju menerima jumlah berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 12:09 PM