Empat pendaki KJA berlepas ke Tehran, Iran dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman
am@hmetro.com.my


EMPAT pendaki Kelab Jelajah Alpine (KJA) kembali melakukan usaha mencari dan menyelamat (SAR) rakan mereka, Ramli Abdul Majid, 44, yang hilang di Gunung Damavand, Iran pada 20 November tahun lalu.

Ketua Ekspedisi Mohd Khafiz Bachok, 39, berkata misi buat kali ketiga itu diteruskan kerana Tehran ketika ini memasuki musim panas, manakala salji yang meliputi gunung berkenaan mula mencair dan diharap memudahkan usaha pencarian.

"Misi ini dijangka berjalan selama 10 hari dan kami turut mendapat kerjasama daripada pasukan Bulan Sabit Merah Tehran serta memohon bantuan kerajaan Iran bagi mempergiatkan usaha SAR.

"Fokus kawasan carian ialah di timur Gunung Damavand bermula ketinggian 4,100 meter hingga 5,300 meter dari aras laut serta kawasan perkampungan berdekatan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2), Sepang sebelum berlepas ke Tehran, hari ini.

Selain Mohd Khafiz, tiga pendaki lain turut terbabit dalam misi berkenaan ialah Muhammad Illaham Ishak, 40, Azwawi Ismail, 38, dan Mohd Azraie Md Yusof, 34.

Mohd Khafiz berkata, pihaknya berharap SAR berkenaan dapat memberi gambaran berhubung kehilangan Ramli yang kini masuk bulan kelapan.

Katanya, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan Kedutaan Malaysia di Tehran untuk berurusan dengan kerajaan negara terbabit bagi mendapatkan surat rasmi berkaitan status kehilangan Ramli.

Pada 20 November tahun lalu, Ramli dan rakan pendaki Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, hilang selepas tidak kembali ke Kem 3 yang terletak pada ketinggian 4,200 meter dari aras laut.

Berikutan itu, Kementerian Luar bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Iran bagi mengesan dua rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang di Gunung Damavand.

Namun, mayat Syed Redzuan ditemui di Yakhar Glacier, Gunung Damavand pada 28 November lalu, manakala Ramli masih gagal ditemui sehingga sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 9:23 PM