Antara PATI yang ditahan Jabatan Imigresen. FOTO Ihsan JIM
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


SERAMAI 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan di lapan pusat cucian kereta dan kedai gunting di Dengkil, jam 4 petang semalam.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataannya berkata, mereka yang ditahan itu membabitkan 12 warga Bangladesh serta masing-masing seorang Indonesia dan Myanmar yang bekerja di premis-premis terbabit .

"Operasi berkenaan dilancarkan pihak berkuasa berdasarkan maklumat yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Haji Ali.

"Beliau melakukan rondaan secara bersendirian, menjalankan pemantauan berhubung aktiviti tidak sah dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan mudah," kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Mustafar menghubungi Pengarah Imigresen Selangor supaya tindakan penguatkuasaan segera diambil bagi memastikan PATI ditangkap dan majikan melindungi mereka diambil tindakan berdasarkan undang-undang dan peraturan semasa.

Dalam pada itu, tindakan imigresen berdasarkan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) mengikut akta sama kerana tinggal melebihi tempoh sah dan di bawah peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

"Semua 14 warga asing ditahan itu dibawa ke Jabatan Imigresen Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 7:48 PM