MAYAT lelaki berusia 20 tahun yang ditemui tergantung di pokok dibawa ke HQE menggunakan kenderaan polis. FOTO ihsan PDRM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my

LELAKI berusia 20 tahun ditemui tergantung di pokok di kawasan Tanah Perkuburan Islam, Taman Keramat, Kota Kinabalu, semalam.

Lelaki yang beralamat di Kudat itu ditemui oleh orang awam sebelum menghubungi polis pada 11.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal di lokasi mendapati lelaki itu dalam keadaan tergantung dengan kabel telefon yang diikat pada pokok di tanah perkuburan Islam.

"Pemeriksaan lanjut di sekitar tempat kejadian menemui beg sandang, telefon bimbit dan dompet yang mengandungi MyKad.

"Pemeriksaan pada tubuh lelaki itu tiada unsur-unsur jenayah dan paramedik dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) yang tiba mengesahkan dia sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 4:03 PM