Khemah yang dibuat oleh penagih untuk menjalankan kegiatan penagihan dadah. FOTO Omar Osman
Omar Osman
am@hmetro.com.my


JABATAN Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah diminta membuat pemantauan dan tidak melindungi kakitangan, guru atau pelajar yang terbabit dengan penagihan dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, JPN, PPD dan sekolah perlu membuat pemantauan ke atas guru, pelajar atau kakitangan yang disyaki terbabit dengan penagihan dadah sebelum memaklumkan kepada pihak berkenaan untuk diambil tindakan.

Katanya, tindakan itu perlu diambil supaya masalah penagihan dadah dalam kalangan guru dan pelajar dapat ditangani secepat mungkin sekali gus membendung kegiatan itu daripada merebak.

"Namun saya kesal apabila masih ada pihak yang cuba sembunyikan pembabitan guru, pelajar atau kakitangan sekolah dalam penagihan dadah kerana tidak mahu nama sekolah terjejas.

"Saya mengambil serius isu penangkapan seorang guru oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi di Kampung Segantang Garam dekat Merbok, semalam.

"Tindakan sekolah terbabit yang merahsiakan pembabitan guru itu dengan gejala dadah seolah-olah menggalakkan dia.

"Saya hairan kenapa seorang yang sudah tiga kali ditahan oleh AADK kerana dadah sebelum ini dan tidak hadir ke sekolah hampir setahun masih boleh mengajar di sekolah itu semula. Jadi perkara ini amat serius dan perlu diambil tindakan segera " katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan hutan bakau yang menjadi sarang penagihan dadah serta program pembersihan di Kampung Segantang Garam, hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang guru ditahan di Hutan Bakau Segantang Garam oleh AADK Kuala Muda semalam.

Dalam operasi 6 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun itu antara 14 penagih yang ditahan dalam operasi diketuai Ketua AADK cawangan Kuala Muda, Shamshuri Yussof bersama 10 anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 12:42 PM