TIGA pemenang hadiah utama peraduan Festival Fantastik Ganjaran Berganda anjuran Kumpulan The Store.

Ipoh: Seorang kerani wanita tidak menyangka mimpinya menjadi kenyataan apabila memenangi hadiah utama sebuah kereta Proton Persona 1.6 dalam peraduan Festival Fantastik Ganjaran Berganda anjuran Kumpulan The Store yang diadakan sejak Mac lalu.

Chay Pek Ying, 60, mengakui terkejut selepas menerima panggilan daripada Duta Kumpulan The Store, Adibah Noor, memaklumkan dia dipilih sebagai seorang daripada tiga pemenang hadiah utama.

Katanya, beberapa hari selepas itu, dia bermimpi memenangi kereta jenis berkenaan dan tidak menyangka mimpinya menjadi kenyataan apabila diumumkan sebagai pemenang kereta itu.

“Saya menghantar beberapa penyertaan ketika membeli barangan keperluan rumah di The Store Jalan Kota, Taiping dan tidak sangka dengan hanya berbelanja RM300 saya memenangi sebuah kereta.

“Sebelum ini, saya memberitahu suami yang saya bermimpi memenangi kereta Persona, kebetulan hari ini (semalam) saya dapat hadiah pertama pula,” katanya selepas menerima kereta itu pada Majlis Cabutan Terakhir Festival Fantastik Ganjaran Berganda di The Store, Jalan Raja Permaisuri Bainun, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Kewangan Kumpulan The Store, Chang Yen Huei dan Pengarah Kumpulan The Store (Bahagian Softline & Hardline), Charlie Tan Mong Chon.

Pada majlis berkenaan, dua lagi pemenang, Yeoh Pei Ching, 28, memenangi tempat kedua dan membawa pulang kereta Perodua Bezza 1.3, manakala tempat ketiga dimenangi Lim Ee Chu, 59 yang membawa pulang kereta Proton Saga 1.3.

Terdahulu, Kumpulan The Store menerusi Kempen Kasih Tanpa Sempadan menyerahkan cek sumbangan hasil dana terkumpul berjumlah RM110,000 kepada lapan rumah kebajikan terpilih.

Turut diadakan pelancaran rasmi kempen kebajikan yang baru dengan menjalin kerjasama bersama badan bukan kerajaan, MyKasih Foundation menerusi program Sumbangan Ikhlas Ringankan Beban.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 5:23 AM