PESAKIT dibawa keluar dari wad yang terbabit dalam kebakaran akibat litar pintas. Gambar kanan, kipas yang terbakar.
Suzaini Sulaiman
am@hmetro.com.my

Tanjung Karang: Suasana di Wad 2, Hospital Tanjung Karang, di sini, kecoh seketika apabila sebuah kipas berdiri di wad berkenaan terbakar, jam 7 pagi semalam.

Kebakaran kecil itu menyebabkan asap menyelubungi wad namun kakitangan hospital dapat memindahkan 10 pesakit wanita di wad berkenaan ke lokasi lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Karang Azmi Abbas berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 7.18 pagi.

“Laporan awal mendapati berlaku litar pintas pada kipas berdiri yang mengalami kerosakan motor. Kipas berkenaan terletak di bilik pengasingan wad itu dan ketika kejadian, tiada pesakit di dalamnya.

“Kebakaran kecil itu tidak membabitkan struktur bangunan sebaliknya hanya pada kipas. Pengurusan hospital berjaya membuat pengosongan seluruh blok wad 2 itu dengan membawa pesakit ke tempat lebih selamat,” katanya.

Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan lanjut mengenai kebakaran itu masih dijalankan.

Sementara itu, Pengarah Hospital Tanjong Karang Dr Mohd Zamri Wagiman @ Saim ketika ditemui mengesahkan kebakaran kecil di wad terbabit namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 6:06 AM