KENDERAAN dinaiki mangsa terhumban ke dalam parit. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


REMAJA maut manakala abang iparnya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Kilometer 66.7 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Batu Pelanduk, Kuala Abang di Dungun, hari ini.

Muhammad Hafiza Che Hashim, 18, yang berada di tempat duduk belakang kereta meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam kejadian 5.15 pagi itu.

Abang iparnya, Mohd Firdaus Abdullah, 23, parah manakala pemandu kereta, Ahmad Amirul Hakim Ahmad Rahadian, 21, cedera.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Ahmad Amirul yang juga sepupu mangsa terbabas selepas melalui selekoh di kawasan berkenaan.

Kenderaan berkenaan kemudiannya merempuh dua tiang elektrik sebelum terhumban ke dalam parit.

Mohd Firdaus dan Ahmad Amirul kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.

Mayat Muhammad Hafiza pula dibawa ke Unit Forensik hospital yang sama untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 11:18 AM