Fardy Bungga
am@hmetro.com.my


SERAMAI 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia, Thailand dan China ditahan dalam Op Ikrar di medan selera di sebuah pusat beli-belah di Bangsar, hari ini.

Dalam operasi 11 pagi itu, kebanyakan warga asing terbabit bekerja di gerai makanan dan minuman di medan selera berkenaan.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) Mohd Shahrulnizam Ismail berkata, dalam serbuan berkenaan seramai 120 individu diperiksa.

Katanya, hasil pemeriksaan, seramai 75 individu berusia antara 20 hingga 55 tahun ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen diri yang sah.

“Antara kesalahan lain yang dikesan adalah tinggal di negara ini melebihi masa dan salah guna pas serta permit kerja.

“Semua yang ditahan dibawa ke pejabat JIMWPKL untuk tindakan selanjutnya termasuk memanggil majikan untuk membantu siasatan,” katanya hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 bagi kesalahan tiada dokumen diri yang sah.

Selain itu katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 16(1)(c) dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan tinggal lebih masa serta salah guna pas dan permit kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 8:18 PM
PATI yang ditahan di medan selera di sebuah pusat beli-belah di Bangsar, hari ini. FOTO Fardy Bungga