Gambar fail militan Daish berarak di satu lokasi di Iraq. FOTO Agensi
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

MALAYSIA tidak akan tunduk terhadap ancaman kumpulan Daish serta sentiasa menjalinkan kerjasama dengan negara ASEAN demi memastikan hasrat kumpulan itu untuk bertapak dan menguasai rantau ini gagal.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau sentiasa berhubung dengan rakan sejawatan dari negara ASEAN bagi membincangkan strategi dan pendekatan terbaik untuk memerangi kumpulan Daish.

“€œPagi tadi, saya menghubungi rakan sejawatan saya dari Filipina, Delfin Negrillo Lorenzana, bagi menyatakan kesanggupan Malaysia untuk membantu Filipina dalam apa jua cara dan keadaan yang ketika ini berhadapan dengan ancaman keganasan.

“€œSalah satu kerjasama terbaru yang dilaksanakan Malaysia untuk memerangi keganasan ialah inisiatif INDOMALPHI Trilateral Maritime Patrol (TMP) bersama Indonesia dan Filipina yang dilancarkan di Tarakan, Indonesia baru-baru ini,”€ katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memastikan anggota militan termasuk militan Dish tidak menjadikan Laut Sulu sebagai laluan tikus untuk menceroboh masuk ke tiga negara ini serta bagi menangani aktiviti lanun, penculikan dan rompakan bersenjata di perairan ini.

“€œSusulan pelaksanaan TMP, kita juga akan melancarkan Trilateral Air Patrol (TAP) melibatkan 3 negara ini yang dijangka akan dilancarkan di Subang. Secara amnya, TAP dilaksanakan sebagai satu lagi inisiatif untuk memperkasakan pengawasan keselamatan dan kesiapsiagaan ruang udara dan maritim di Laut Sulu.

“€œSaya juga akan berhubung melalui telefon dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jeneral James Mattis pada Khamis ini bagi membincangkan perkembangan terkini kegiatan kumpulan militan Daish di Timur Tengah,” katanya.

Katanya,perbincangan itu bakal menjadi platform terbaik untuk beliau dan James berkongsi pengalaman serta memperhalusi bentuk kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

“€œPada masa sama, saya akan mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara di Timur Tengah dalam masa terdekat khususnya di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain. Lawatan ini bertujuan bertemu pemimpin tertinggi negara itu bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi di Timur Tengah.

“€œPertemuan itu juga membolehkan kami berkongsi pandangan berhubung pendekatan terbaik bagi menangani ancaman kumpulan Dish. Dalam lawatan ke Arab Saudi, saya akan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi merangkap Menteri Pertahanan Arab Saudi, Mohammad bin Salman bin Abdulaziz Al Saud bagi membincangkan penubuhan King Salman Centre For International Peace (KSCIP) di Kuala Lumpur serta memikirkan pendekatan yang terbaik untuk mengenalpasti inisiatif counter narrative bagi mengekang penyebaran dakyah kumpulan pengganas,” katanya.

Menurutnya, Malaysia menerusi Angkatan Tentera Malaysia dan semua agensi keselamatan negara akan melaksanakan pelbagai lagi inisiatif dan pendekatan dari semasa ke semasa demi memastikan kumpulan militan Daish tidak berupaya menceroboh masuk dan bertapak di negara ini.

“€œSelaku Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas, saya sendiri bersama YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan sentiasa berhubung dan berusaha memelihara tahap keselamatan dan pertahanan negara agar sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi. Insya-Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 7:30 PM