Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


LELAKI cuba melarikan diri daripada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga menyebabkan kemalangan enam kenderaan di Kawasan Perindustrian Arab-Malaysia, Nilai, semalam, direman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, lelaki berusia 32 tahun terbabit direman sehingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Menurutnya, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk mendapatkan perintah reman, kira-kira jam 11 pagi ini.

Katanya, dalam kejadian jam 7 malam tadi, suspek dipercayai memandu kereta klon diarahkan berhenti oleh anggota penguat kuasa JPJ namun enggan dan cuba melarikan diri.

"Suspek yang memandu Honda Stream itu dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah kereta sebelum mengakibatkan kemalangan lima kenderaan lain ketika cuba mengelak termasuk kenderaan JPJ yang mengejarnya.

"Suspek berjaya ditahan dan mengaku melarikan diri kerana lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh selain mendakwa kenderaan itu milik teman wanitanya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 2:31 PM
Suspek ( kanan) direman empat hari bermula hari ini atas kesalahan cuba melarikan diri daripada anggota JPJ sehingga menyebabkan kemalangan enam kenderaan. FOTO Hasriyasyah Sabudin