Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: “Dakwaan menantu saya hamil tidak benar kerana arwah ada pergi membuat pemeriksaan doktor baru-baru ini,” kata Minah Endut, 62, ibu mentua kepada Allahyarham Siti Nor Munirah Abu Bakar, 31, yang ditemui rentung dalam kebakaran di Jalan Kepong, Kampung Pengadang Baru, di sini, kelmarin.

Menurutnya, arwah menantunya itu juga ‘uzur’ setiap bulan sejak berkahwin dengan anaknya, Abdul Mukmin Ahmad, 35, pada Mac lalu.

Katanya, memang arwah ada mendakwa dirinya seperti mengandung, tetapi selepas membuat pemeriksaan di klinik dimaklumkan doktor kemungkinan mangsa berasa tidak sihat kerana ‘angin’.

“Saya harap semua pihak dapat memahami. Saya dimaklumkan ramai netizen di media sosial mendakwa arwah menantu saya hamil ketika kejadian.

“Saya minta semua pihak memahami situasi yang kami alami sekarang ini dan berharap orang ramai memberi ruang kepada keluarga terutama anak lelaki saya yang kehilangan isteri,” katanya.

Dalam kejadian jam 4 petang, Siti Nor Munirah ditemui rentung di dalam rumah keluarga mentuanya oleh anggota bomba selepas memadamkan kebakaran yang memusnahkan rumah papan dua tingkat berkenaan.

Mayat mangsa ditemui jam 6 petang selepas wanita itu didakwa terperangkap di tingkat atas kediaman terbabit.

Adik Abdul Mukmin, Abdul Muklis, 27, yang tidur di dalam rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri selepas menyedari kejadian terbabit.

Sementara itu, Abdul Mukmin yang ditemui pula berkata, dia reda dengan kejadian terbabit tetapi enggan mengulas lanjut mengenai insiden terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 7:25 AM
MINAH Endut