Sebahagian 28 warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia berusia 16 hingga 45 tahun yang ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Kelantan di Tunjong dan Telipot, Kota Bharu. FOTO ihsan Jabatan Imigresen Kelantan
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


SERAMAI 1,509 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen atas pelbagai kesalahan dalam 181 operasi penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara bermula Sabtu hingga 8 pagi hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, mereka yang ditahan itu membabitkan pelbagai warga negara selepas pemeriksaan dibuat ke atas seramai 5,278 warga asing.

"Daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah Bangladesh membabitkan seramai 752 orang diikuti Indonesia (195), Myanmar (117), Filipina (50), Thailand (45) dan baki seterusnya ialah dari negara lain.

"Seramai 1,314 PATI adalah lelaki, 192 wanita dan tiga lagi ialah kanak-kanak," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, seramai 28 majikan turut ditahan manakala 86 individu diberi notis untuk hadir memberi keterangan sepanjang tempoh itu.

Pada masa sama, Mustafar berkata, pihaknya turut mengesan satu taktik baru iaitu cubaan mendaftar program E-kad oleh PATI yang sudah dihantar pulang dan disenarai hitam.

"Mereka menyusup masuk ke negara ini melalui jalan tidak sah dan cuba menyertai program pendaftaran E-kad dalam usaha mendapatkan pas kerja yang sah.

"Bagaimanapun, ia dapat dikesan oleh jabatan ini apabila cap jari mereka diambil untuk semakan dan rekod dapat mengesan identiti sebenar dan status mereka yang disenarai hitam.

"Cubaan untuk mendaftarkan PATI tidak layak ini berjaya digagalkan dan sebanyak 38 kes dikesan dengan 40 PATI dan dua majikan ditangkap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 7:33 PM