Ramli menunjukkan gambar Masrinhy yang dikehendaki polis. FOTO Izhari Ariffin
Mohd Ruzaini Zulkepli
am@hmetro.com.my


WANITA dikenali sebagai Farah antara empat individu yang dicekup polis selepas didapati terbabit dengan tujuh kes pecah rumah dan pejabat dalam dua tangkapan berasingan di Taman Keramat, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Dalam tangkapan 8 malam Rabu lalu, Farah, 36, bersama tiga lagi suspek lelaki berusia antara 19 hingga 33 tahun ditahan kerana disyaki terbabit secara langsung dengan semua jenayah berkenaan sehingga menyebabkan kerugian lebih RM60,000.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, kumpulan jenayah itu dipercayai aktif sejak Februari hingga Jun lalu dengan mensasarkan beberapa premis serta rumah di sekitar Kota Kinabalu.

"Hasil siasatan dan risikan, kita berjaya menjejaki kumpulan ini menerusi dua serbuan berasingan di Taman Keramat, Kota Kinabalu pada 28 Jun lalu.

"Empat individu termasuk seorang wanita dikenali sebagai Farah yang juga disyaki sebagai dalang kepada kumpulan ini berjaya ditahan dalam serbuan berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Datuk Salehhudin Abd Rahman dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra.

Ramli berkata, hasil tangkapan suspek, polis merampas pelbagai barangan termasuk 31 alat pembesar suara dan 14 alatan elektronik bernilai RM40,000 yang dipercayai hasil kegiatan kumpulan itu.

Beliau berkata, polis kini mengesan seorang lagi ahli kumpulan itu yang juga lelaki teman lelaki Farah, Masrinhy Masazing, 35, kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan jenayah kumpulan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 4:30 PM