REMPUHAN kuat mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabas.

Nilai: Angkara mengubah haluan, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan mereka dirempuh kereta di Kilometer 285 Lebuhraya PLUS arah selatan, berhampiran Hentian Nilai, kelmarin.

Mangsa yang maut ialah Choo Han Peng, 27, manakala Eben Ting Ik Peng, 26, dan pemandu kereta Proton Perdana, Ng Xin Qiang, 35, cedera.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mereka dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Nilai.

“Siasatan awal mendapati Toyota Unser yang berada di lorong tengah mengubah haluan ke kanan mengakibatkan Proton Perdana yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan itu.

“Rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan. Choo dan Eben tersepit di dalam kenderaan berjaya dikeluarkan pasukan bomba yang tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, Choo disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan manakala Eben dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 10:16 AM