ANGGOTA bomba giat memadamkan kebakaran. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


TIGA rumah musnah manakala empat lagi rosak dalam kebakaran di Kampung Tupong Hulu, Jalan Astana, Petra Jaya, hari ini.

Kejadian 2.20 pagi itu menjejaskan 69 penghuni yang ada di antaranya kini menumpang di rumah saudara.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 2.39 pagi.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan dibantu BBP Kuching dikejarkan di lokasi kejadian.

"Api marak begitu cepat kerana struktur rumah yang terbabit dibina menggunakan kayu.

"Tiga rumah musnah manakala empat lagi diselamatkan dan hanya mengalami kerosakan," katanya.

Beliau berkata, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang mengalami masalah pernafasan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak oleh ahli keluarganya untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi pemadaman selesai sepenuhnya 5.08 pagi dan setakat ini jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 8:53 AM