Orang ramai yang menghadiri Rumah Terbuka PAS Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. - Foto SYAMSI SUHAIMI
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


PAS Kelantan tidak terkesan dengan cadangan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang mencalonkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa, sebagai Menteri Besar Kelantan jika Pakatan Harapan berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata cadangan itu perkara biasa bagi sesebuah parti.

Katanya, pihaknya menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan Menteri Besar Kelantan pada PRU-14 akan datang.

"Rakyat mempunyai hak untuk memilih (Menteri Besar) pada PRU-14 akan datang. Hak rakyat pelbagai kaum juga sama kerana kita tidak ada diskriminasi.

"Sudah beberapa kali pilihan raya dan kita mempunyai cara tersendiri," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka PAS Kelantan sempena Aidilfitri di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, hari ini.

Pelbagai peringkat rakyat hadir ke rumah terbuka itu yang turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ahmad berkata demikian mengulas kenyataan cadangan Penasihat DAP Lim Kit Siang mencalonkan Husam sebagai Menteri Besar Kelantan.

Dalam laporan itu, Lim percaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu boleh menjadi teladan baik untuk rakyat Kelantan dan seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 5:48 PM