Pesakit dibawa menaiki bot APMM dan dihantar ke Hospital Kudat, Sabah, dengan ambulans sebaik tiba di Jeti Marina Kudat. - Foto AMNIERA NAZIERA AMRAN
Amniera Naziera Amran
am@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat melakukan pelayaran ihsan membawa pesakit yang mengalami masalah pendarahan paru-paru akibat dihempap kayu ketika memotong kayu itu di kebunnya untuk menjalani rawatan susulan di Hospital Kudat, Kudat, Sabah, semalam.

Sakil Among, 58, dibawa menaiki Bot Adel 04 milik APMM dari Karakit, Pulau Banggi, pada 6.40 petang sebelum tiba di Jeti Marina Kudat pada 8.40 malam dan dihantar ke hospital.

Mangsa dikatakan dihempap kayu ketika memotong kayu itu di kebunnya, petang semalam.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil berkata, bilik operasi APMM Kudat menerima panggilan kecemasan daripada doktor bertugas di Klinik Kesihatan Karakit, jam 5.25 petang, memberitahu bot untuk membawa pesakit rosak.

"APMM Kudat bergegas menghantar operasi bantuan kecemasan ke lokasi kejadian dengan Bot Adal 04 dan tiba di Jeti Karakit, Pulau Banggi, seterusnya membawa mangsa ke Jeti Marina Kudat sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Zubil berkata, APMM bersedia setiap masa memberi bantuan kepada masyarakat jika berlaku kecemasan.

“Orang ramai disaran melaporkan kepada APMM jika berhadapan masalah di laut dan boleh menghubungi MERS 999 untuk bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 5:43 PM