FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


SERAMAI 147 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi di tapak pembinaan di Kampung Badang, Jalan PCB, Kota Bharu, hari ini.

Operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari itu menahan mereka yang berusia antara 25 hingga 50 tahun iaitu 132 warga Bangladesh, 10 warga Pakistan dan lima (Indonesia).

Dalam serbuan itu, tiga buruh binaan warga asing berusia antara 25 hingga 27 tahun cuba melarikan diri di celah bangunan dan cuba memanjat tembok untuk keluar dari kawasan pembinaan.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Wan Mohammmed Saupee Wan Yusoff berkata, bagaimanapun kesemua warga asing itu berjaya ditahan.

Katanya, operasi berkenaan membabitkan 31 anggota dan pegawai adalah susulan daripada program E-Kad yang berakhir semalam.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan 39(B) di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke pejabat penguatkuasaan di Telipot, di sini, untuk pemeriksaan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Tanah Merah," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 2:16 PM