TRELER dipandu mangsa terbalik dalam kemalangan di Kampung Moloson, Jalan Tambunan - Keningau. FOTO ihsan PDRM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


PEMANDU treler maut selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu masuk ke parit sebelum terbalik di Kampung Moloson, Jalan Tambunan - Keningau, Keningau, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa Martin Tanin, 50, dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah treler membawa muatan kayu papan dari arah keningau menuju ke Kota Kinabalu.

"Sebaik tiba tempat kejadian pemandu disyaki hilang kawalan lalu masuk ke parit sebelah kiri sebelum kenderaan dipandu mangsa terbalik.

"Akibat kejadian itu, mangsa tersepit di dalam kenderaannya dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini, hari ini.

Ahmad berkata, ketika kejadian pemandu tidak disyaki mabuk dan memandu seorang diri.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kecederaan teruk dibahagian kepala.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 2:12 PM