MOTOSIKAL yang ditunggangnya mangga rosak teruk di bahagian depan. FOTO ihsan bomba
Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my


LELAKI maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh belakang kenderaan pacuan empat roda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Perak di Kilometer 364 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan dekat Slim River jam 10.15 malam semalam.

Mangsa E Narandran, 19, beralamat Taman Desa Bakti,Teluk Intan menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai melanggar belakang kenderaan pacuan empat roda jabatan berkenaan dan maut di tempat kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian pacuan empat roda JPJ sedang membantu sebuah van yang mengalami kerosakkan dengan mengekori dari belakang untuk membantu van yang dinaiki sebuah keluarga keluar melalui susur keluar Tol Slim River.

Lelaki berkenaan dikatakan merempuh bahagian belakang sebelah kanan pacuan empat roda JPJ secara tiba-tiba dan tercampak sebelah kanan lalu dirempuh sebuah kereta.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak berkata, pihaknya menerusi anggota bertugas di Tol C2 Slim River menerima panggilan 10.35 malam berhubung kejadian lalu bergegas ke lokasi.

Menurutnya, sejurus tiba anggota mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan milik JPJ.

"Mangsa yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir dilokasi kejadian.

"Mayat mangsa kemudian di bawa ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut,"katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi diketuai Penguasa Bomba Amir Ashraf Zakaria tamat sekitar 10.50 malam.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 1:31 PM