SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diperiksa ketika Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak membuat dan tidak mempunyai "Enforcement Card" atau E-Kad di kawasan perkilangan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. FOTO | RAMDZAN MASIAM
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan melayan sebarang desakan dari mana-mana pihak samada majikan atau persatuan majikan untuk melajutkan program kad sementara Enforcement Card (E-Kad).

Menurutnya, beliau tidak fikir sebarang lanjutan akan diberikan biarpun tempoh pendaftaran E-Kad sudah tamat malam tadi.

"Sehingga malam tadi, kita sudah menamatkan pengeluaran E-Kad dan tindakan tegas terpaksa dilakukan untuk memburu pendatang tanpa izin (Pati).

"Walaupun hanya 23 peratus Pati sudah memohon E-Kad namun, Jabatan Imigresen terpaksa bertindak tegas mengikut Akta Imigresen sedia ada," katanya pada sidang media di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri dan isteri di Seri Satria, di sini hari ini.

Katanya, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali sudah mengeluarkan beberapa amaran sebelum ini bagi mengingatkan majikan dan Pati untuk mendaftarkan diri menerusi program berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak menyekat mereka untuk mencari rezeki di negara ini tapi pekerja dan majikan perlu bertanggungjawab sekiranya mereka tidak mempunyai visa untuk bekerja di negara ini.

Bermula tengah malam tadi, Jabatan Imigresen (JIM) mula menjalankan gerakan besar-besaran memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara selain mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang melakukan kesalahan menggaji mereka.

Pendaftaran E-Kad dibuka sejak 15 Februari lalu dan kad itu berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi tujuan menggantikan dokumen perjalanan sah daripada kedutaan untuk membolehkan warga asing terbabit terus bekerja di negara ini.

Selepas mendaftar, majikan dan warga asing itu perlu mendapatkan pasport daripada kedutaan masing-masing untuk tujuan pemutihan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut menafikan laporan dikeluarkan oleh agensi berita Jepun yang memaklumkan Malaysia sudah menghentikan permit kerja buat rakyat Korea Utara.

"Saya ingin tegaskan bahawa berita itu tidak benar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 1:07 PM