Orang ramai melihat keadaan kemalangan di Kampung Kubang Tin. FOTO ihsan pembaca
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Kampung Kubang Tin, Melor, Kota Bharu pagi ini.

Dalam kejadian 2.15 pagi itu, Mohamad Shahrul Nizam Ahmad, 19, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Dua lagi rakannya yang menunggang motosikal berasingan mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang Yamaha 125Z sendirian dengan dua lagi motosikal dari arah Kota Bharu menghala ke Melor.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah Proton Persona membuat pusingan U menyebabkan mereka tidak sempat mengelak.

"Mangsa berusia 19 tahun tercampak dan maut di tempat kejadian manakala dua lagi penunggang yang parah dikejarkan ke HUSM untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 2:25 PM