Dadah yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


LELAKI ditahan polis bersama dadah ketamin seberat 53 gram bernilai RM5,000 di depan rumah di Jalan Lapangan Terbang, Kuching petang semalam.

Suspek berusia 24 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang oleh sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak.

Ketua JSJN Sarawak Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, siasatan awal mendapati suspek baru saja mengambil bekalan dadah berkenaan di belakang sebuah stesen minyak di Jalan Song.

Menurutnya, pemeriksaan menemui lima paket dadah berkenaan disorokkan suspek di dalam poket seluar yang dipakainya.

"Dadah berkenaan diperoleh daripada seorang lelaki yang tidak dikenali selepas membuat pembayaran melalui transaksi bank.

"Suspek juga adalah pengedar dadah di daerah ini dan menjualnya kepada pelanggan yang dikenali," katanya ketika dihubungi.

Katanya, suspek kemudian di bawa ke Balai Polis Sungai Maong untuk siasatan lanjut dan saringan air kencing mendapatinya positif dadah.

Sahar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 12:07 PM