Suspek kes dera anak tiri di Felda Tenang, Hulu Besut, (baju lokap jingga) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Besut. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak
am@hmetro.com.my


BAPA tiri kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai didera di Felda Tenang, Hulu Besut, kelmarin, direman tujuh hari bermula hari ini.

Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah membenarkan permohonan tahanan reman oleh polis bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek berusia 38 tahun dijalankan.

Suspek yang memakai baju lokap jingga tiba di Mahkamah Majistret Besut pada 9.15 pagi dengan tangan bergari bersama beberapa tahanan lain.

Semalam, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rawi mengesahkan siasatan terhadap kejadian berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman, 5, disahkan meninggal dunia selepas dibawa bapa tirinya ke Unit Kecemasan Hospital Besut pada 3.30 pagi.

Hasil pemeriksaan pakar perubatan di hospital berkenaan mendapati punca kematian kanak-kanak terbabit tidak konsisten dengan keterangan yang dibuat bapa tirinya dengan mendakwa mereka terjatuh daripada motosikal.

Keputusan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu semalam pula menunjukkan kematian mangsa berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan koyakan pada usus kecilnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 11:45 AM