AHLI keluarga pilu melihat mayat Razif.
Mohd Shukor Amin
am@hmetro.com.my


Sabak Bernam: Remaja ini hanya tersenyum apabila ditanya hendak beraya ke mana sebelum maut dalam kemalangan jalan raya di persimpangan Ban 1 Parit 12 Sungai Nibong, di sini, petang kelmarin.

Razif Noradnan, 14, dari Tali Air 12 Ban 1/5 Sungai Nibong maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal pada jam 6.30 petang.

Kakak sulung arwah, Rozita Noradnan, 23, berkata, adiknya berkelakuan begitu ketika disapa ibu mereka, Norlailawati Ruzali, 42, ketika arwah hendak keluar berhari raya.

“Biasanya arwah beritahu jika hendak ke mana-mana, tetapi semalam (kelmarin) dia tak cakap sepatah pun sebaliknya hanya tersenyum sebelum pergi.

“Sebelum ini arwah tidak menunjukkan perubahan sikap, malah dia periang seperti biasa. Tanpa disangka, itulah senyuman terakhir dan petanda dia pergi meninggalkan kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC dari arah Jalan Parit 11 keluar simpang untuk melintas menuju masuk ke jalan Parit 12.

“Pada masa sama, seorang penunggang berusia 19 tahun yang menunggang motosikal Honda Wave dari arah Jalan Parit 12 Sungai Nibong berada di jalan utama ke Jalan Ban Canal dipercayai gagal mengelak sebelum berlaku perlanggaran.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang cedera di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang sebuah lagi motosikal patah kaki kanan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 9:42 AM