GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


PENERBANGAN Malindo Air, OD163 dari Dhaka, Bangladesh terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shajalal berikutan cermin depan pesawat itu retak.

Ketika kejadian pesawat itu yang berlepas dari Dhaka pada 12.50 tengah hari (waktu tempatan), hari ini dalam penerbangan ke Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan syarikat penerbangan memaklumkan semua penumpang dan anak kapal mendarat dengan selamat.

"Keselamatan penumpang menjadi keutamaan Malindo Air dan kami memohon maaf atas kesulitan dan kelewatan berikutan insiden ini.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk menyalurkan bantuan dan memastikan kebajikan penumpang dan anak kapal dijaga.

"Juruterbang pesawat berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika kejadian," katanya yang memaklumkan mereka akan dipindahkan ke penerbangan lain dalam masa terdekat.

Sementara itu, jurucakap Malindo Air ketika dihubungi memaklumkan pihaknya belum mendapat maklumat berhubung jumlah sebenar penumpang dan anak kapal dalam pesawat berkenaan.

Dalam kejadian berasingan Ahad lalu, penerbangan pesawat Malindo Air dari Lahore, Pakistan ke Kuala Lumpur terpaksa mendarat di Delhi, India berikutan masalah enjin.

Pesawat Malindo Air OD132 berlepas dari Lahore, Pakistan pada 9.25 malam sebelum dikatakan menghadapi masalah teknikal.

"Pesawat itu selamat mendarat di lapangan terbang terdekat, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di Delhi, India.

"Semua 75 penumpang yang berada dalam pesawat itu selamat dan diberikan penginapan di hotel lapangan terbang berkenaan. Penumpang terbabit dihantar ke Kuala Lumpur melalui penerbangan OD206 dan OD208 pada hari berikutnya," katanya.

Katanya, krew teknikal sudah dihantar ke lapangan terbang untuk menjalankan pemeriksaan terhadap pesawat berkenaan bersama-sama dengan pengendali teknikal di bawah syarikat penerbangan India Jet Airways.

"Siasatan sedang dijalankan dengan pengilang enjin dan Boeing untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 12:15 AM