Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berkumpul untuk mencari mangsa yang hilang. FOTO ihsan penduduk
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


LIMA daripada 14 penduduk yang hilang di Hutan Simpan Ulu Segama dekat Kinabatangan ditemui selamat pagi tadi.

Lima lelaki itu ditemui penduduk di Kampung Bilit, kira-kira 5 pagi tadi.

Semua mangsa dipercayai kumpulan pertama yang masuk ke hutan simpan berkenaan kira-kira 35 kilometer dari Kampung Paris Satu untuk mencari ikan di Sungai Bilong, 21 Jun lalu.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kinabatangan ketika dihubungi berkata, penduduk kampung menghubungi balai bomba bagi memaklumkan penemuan itu pada jam 10 pagi.

Menurutnya, lima lelaki yang hilang itu ditemui dalam keadaan selamat.

"Bagaimanapun, ada mangsa dilaporkan dalam keadaan penat," katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, seramai lima lelaki ke Sungai Bilong untuk mencari ikan namun tidak pulang sehingga Jumaat.

Sembilan penduduk kampung termasuk ahli keluarga mangsa kemudiannya melakukan pencarian namun kumpulan itu juga turut dilaporkan hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 1:11 PM