PENGUNJUNG yang hadir di Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


LEBIH 5,000 pengunjung membanjiri Movie Animation Park Studios (MAPS) yang juga taman tema animasi pertama Asia pada hari pertama pembukaannya di Ipoh, hari ini.

Pra-pembukaan bermula 10 pagi itu berjalan lancar dengan pengunjung merasai sendiri pelbagai tarikan menarik yang disediakan di taman tema itu antaranya The Smurfs, BoBoiBoy, Stunt Legends Arena dan kafe aiskrim La Cremeria pertama di dunia.

Ahli Lembaga Pengarah MAPS, Ramelle Ramli berkata, istimewanya pra-pembukaan ini dilakukan pada hari raya kedua dan sempena itu pihaknya menawarkan promosi hari raya dan pembukaan.

"Melalui promosi ini, setiap pemegang tiket yang berkunjung ke MAPS sehingga 1 Julai ini akan diberikan satu tiket percuma untuk memberi peluang mereka berkunjung kali kedua.

"Bagi pemegang pas tahunan dan pas Perak pula tempoh pas mereka dilanjutkan sehingga 13 bulan bermula dari hari pra-pembukaannya iaitu hari ini," katanya ketika ditemui di MAPS, Ipoh hari ini.

Menurutnya, bagi tempoh promosi ini harga tiket ditawarkan melalui pembelian secara dalam talian dengan harga RM131 bagi dewasa dan RM104 untuk kanak-kanak berusia tiga tahun keatas, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Harga yang ditawarkan adalah berpatutan dan apa yang penting adalah bayaran itu untuk kesemua tarikan atau permainan yang disediakan di taman teman ini bermakna pengunjung tidak perlu membuat bayaran tambahan untuk menikmati tarikan yang disediakan.

"Bagaimanapun buat masa ini terdapat tiga kawasan yang belum dibuka kerana masih melalui latihan teknikal iaitu di The Dream Zone, Blast Off Zone dan Animation Square Zone," katanya.


ORANG ramai beratur membeli tiket pada hari pertama pembukaan Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh. FOTO Abdullah Yusof

Menurutnya, pihaknya menjangkakan menerima kunjungan 49,000 pengunjung dalam tempoh seminggu pembukaannya dan taman tema yang menelan kos RM520 juta itu mampu menampung kehadiran 7,000 orang pada satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2017 @ 5:51 PM