penghuni menjamu selera pada program iftar di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, kelmarin.
Zairee Mohd Yasak
am@hmetro.com.my


Melaka: Walaupun bertugas di sebalik tembok batu, kemeriahan Ramadan turut dikongsi bersama 50 petugas Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas, apabila menerima pek berbuka puasa program #HMKotakRezeki 2017, di sini, kelmarin.

Pengarah SHG Penolong Komisioner Penjara (PKP) Abd Rahman Taib berkata, ingatan kepada kakitangan dan pegawai Jabatan Penjara bertugas amat dihargai.

“Kami berkongsi rasa bertuah dengan sumbangan ini, begitu juga pasukan uniform lain terutama mereka yang bertugas pada Ramadan.

“Semoga hubungan dan ingatan ini sentiasa berkekalan terutama masyarakat yang turut sama menyampaikan sumbangan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata, 11 penghuni pusat sekolah terbabit yang menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi diberi pelepasan berlesen, manakala lima penghuni dibenarkan pulang berhari raya hingga 28 Jun ini.

“Selain meraikan Aidilfitri bersama keluarga mereka yang dibebaskan berlesen dapat membuat persiapan melanjutkan pelajaran mulai Julai depan.

“Langkah ini sebagai dorongan kepada penghuni pusat ini supaya terus bersikap baik dan jalani kehidupan berdisiplin dan bermoral sebagaimana ditunjukkan ketika berada di sini,” katanya.

Menurutnya, dua jenis pelepasan berlesen diberikan kepada penghuni SHG iaitu untuk melanjutkan pelajaran atau yang menerima tawaran pekerjaan terutama bagi mereka yang berbaki setahun hukuman.

Mereka yang tersenarai dinilai jawatankuasa khas Jabatan Penjara sebelum dibebaskan untuk kembali bersama masyarakat.

Beliau menambah, lesen pelepasan boleh ditarik balik jika mereka melanggar syarat ditetapkan Jabatan Penjara atau kembali melakukan kesalahan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 6:12 AM