LOKASI kejadian mangsa ditemui lemas di Sungai Gumagayo, Kampung Tangkol, Kota Marudu. FOTO ihsan PDRM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my

PELAJAR lelaki tingkatan empat yang ditemui lemas di Sungai Gumagayo, Kampung Tangkol, Kota Marudu, semalam, sempat bersama rakannya menyelamatkan pelajar wanita yang hampir lemas di sungai berkenaan sebelum dia tenggelam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan mendapati mangsa bersama 15 pelajar lain mandi di sungai berkenaan.

"Ketika itu, mangsa dan empat rakannya menyelamatkan seorang pelajar perempuan yang hampir lemas di sungai itu. Sebaik selesai, rakan-rakannya tidak sedari bahawa mangsa hilang ketika menyelamatkan pelajar yang hampir lemas itu.

"Sebaik menyedari mangsa hilang, mereka meminta bantuan daripada penduduk kampung dan pencarian dilakukan sebelum mangsa ditemui 10 meter dari tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang ditemui sedalam 3.6 meter di dasar sungai kemudian dibawa naik ke darat dan diberi bantuan pernafasan (CPR) namun mangsa tidak sedarkan diri.

"Mangsa kemudian dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Kota Marudu dan mangsa disahkan meninggal dunia.

"Bedah siasat akan dilakukan hari ini bagi mengetahui punca kematian," katanya.

Dalam kejadian 1.20 tengah hari semalam, Wendley Recnoli, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pingan-Pingan dilaporkan hilang di sungai sebelum pencarian dilakukan oleh penduduk kampung dan perkara itu dimaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu untuk bantuan menyelamat.

Mangsa kemudian berjaya ditemui sebelum anggota bomba tiba dan dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 12:51 PM