Keadaan penggelek jalan yang terbalik di Kuari Kajang Goodview Height, Kajang Perdana, hari ini. - Foto Ihsan Bomba
Nadzreen Shah Mat Salim
am@hmetro.com.my


PEKERJA pembinaan berusia 51 tahun terbunuh selepas kenderaan jentera penggelek jalan atau 'steam roller' dipandunya terbalik di Kuari Kajang Goodview Height, Kajang Perdana, hari ini.

Komander operasi dari Balai Bomba Kajang Fauzi Yusuf berkata, kejadian berlaku kira-kira 9 pagi dan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada rakan mangsa pada 9.50 pagi sebelum enam anggota bersama satu jentera dikerah ke tempat kejadian.

“Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dipercayai sedang mengundur kenderaan itu apabila ia terjatuh dari tembok kawasan pembinaan pada ketinggian satu meter.

“Mangsa tersepit di bahagian pemandu di bawah jentera yang terbalik dan anggota bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkannya," katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera parah di kepala, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 4:35 PM