Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my


Madrasah Darus Sahabah adalah pusat tahfiz persendirian milik keturunan Haji Akhbar Khan yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu di Kampung Bingkul, Beaufort, Sabah.

Bermula dengan pondok kecil dengan jumlah pelajar 20 orang, ia kini berkembang sehingga melahirkan huffaz dan golongan alim dari seluruh pelosok Sabah dan beberapa negara lain.

Menurut Pengerusi Madrasah Darus Sahabah, Alidad Fazal Ilahi, penubuhan madrasah itu dimulakan keluarganya daripada keturunan Haji Akhbar Khan yang mahu ajaran Islam diperluaskan ke daerah ini dengan lebih mendalam.

“Penubuhan madrasah ini bermula daripada keturunan keluarga Haji Akhbar Khan dan ia bermula sebagai pondok kecil saja.

“Ketika itu, pengetahuan ilmu agama kita sangat daif dan nenek moyang kita dulu memikirkan nasib keturunannya dalam amalan agama.

“Maka difikirkan untuk membuka sebuah madrasah untuk mempelajari agama lebih mendalam, bermula dengan 20 pelajar dari sekitar Sabah,” katanya.

Madrasah Darus Sahabah mulai berkembang dan kini mempunyai lebih 100 pelajar dengan dua bahagian pengajian, selain turut memiliki bangunan kelas dan asrama untuk pelajar madrasah.

Terdapat dua bahagian pengajian iaitu hafiz (menghafal al-Quran) serta ilmu alim (kitab) dan madrasah menerima pelajar berusia sembilan hingga 15 tahun untuk menghafaz al-Quran,

Ada empat tahap untuk pengajian ilmu alim (kitab).

Untuk hafiz al-Quran, pelajar perlu mengambil masa empat tahun dan paling cepat dua tahun setengah untuk menghafal manakala pelajar ilmu kitab diambil berusia 15 tahun ke atas.

Sistem pembelajaran kitab diambil daripada sistem ulama India, Pakistan, Bangladesh yang boleh mengambil tempoh lapan tahun untuk mendalami kitab serta hadis.

Di madrasah ini, empat kelas dibuka iaitu sebelum tahun pertama bagi pelajar yang tiada asas al-Quran (syarat belajar kitab, boleh membaca al-Quran, boleh membaca dan menulis Jawi) perlu memasuki kelas ibtidaie (peralihan).

Selepas menguasai pembacaan al-Quran, baru pelajar memasuki kelas pertama dengan mempelajari 11 kitab termasuk Fiqah, Nahu Sharaf Mizan, sirah Nabi dan sebagainya sehingga masuk tahap empat menerusi peperiksaan.

Menurut Alidad, pihaknya sentiasa menyediakan pelbagai kemudahan kepada pelajar di madrasah itu dan menetapkan sistem yang sesuai mengikut kebiasaan madrasah di negara ini.

“Bangunan asrama ini dibina sejak lima tahun lalu dan tingkat selebihnya iaitu di tingkat satu, dua dan tingkat lima digunakan sebagai kelas untuk pelajar di madrasah ini.

Selain itu, terdapat masjid di dalam kawasan ini yang dijadikan kelas, selain untuk menyampaikan dakwah Islam bagi pelajar dan orang ramai,” katanya.

Menurut Alidad, madrasah itu sudah melahirkan ramai huffaz dan alim termasuk ada yang juga kembali mengajar ke madrasah ini.

“Ini madrasah persendirian tidak dibiayai kerajaan namun hingga kini kami mampu menampung 100 pelajar.

“Malah, pelajar di sini sering mendapat undangan daripada masjid sekitar Beaufort sebagai imam solat sunat Tarawih sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 7:28 AM
PELAJAR mendengar dengan tekun ketika sesi pembelajaran kitab.