PENGARAH Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusuf Azmi (dua dari kanan) bersama pembeli tanah yang ditipu.
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Sudahlah tanah yang dijanjikan tidak dapat, duit RM72,000 yang disimpan selama lebih 30 tahun pula lesap sekelip mata,” kata warga emas Sabri Othman, 72.

Bekas pekerja bank itu antara 150 mangsa penipuan dua individu bergelar Datuk yang didakwa menjadi dalang penipuan jualan lot tanah secara besar-besaran membabitkan kerugian keseluruhan kira-kira RM9 juta sejak enam tahun lalu.

Menurut Sabri, episod hitam hidupnya bermula pada 2012 apabila terlihat iklan lot tanah untuk dijual di daerah Hulu Langat pada harga jauh lebih murah daripada nilai pasaran membuatkannya tertarik untuk memiliki dua lot tanah pada harga RM72,000.

“Setiap satu lot tanah berkeluasan 50x60 dijual pada harga RM36,000 dan saya bersetuju membeli dua lot untuk diberikan kepada dua anak selepas yakin apabila Datuk berkenaan menunjukkan peta lot tanah.

“Malah, dia juga membawa saya ke beberapa lagi lokasi melihat lot tanah yang sudah ditarah untuk dijual kepada pembeli membuatkan saya yakin walaupun tidak ditunjukkan geran,” katanya selepas membuat aduan di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini semalam.

Menurut Sabri, kerana terlalu terdesak untuk mendapatkan tanah ditambah dengan keyakinan melihat pejabat Datuk berkenaan yang besar dan mewah, dia membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM7,200 menggunakan wang simpanan.

“Dalam tempoh setahun, saya sudah melangsaikan semua RM72,000 termasuk menggunakan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana tidak sabar mahu memilik tanah yang dijanjikan.

“Bagaimanapun, beberapa bulan selepas itu, saya langsung tidak mendengar khabar atau menerima apa-apa surat daripada pejabat Datuk berkenaan sehingga menyedari ditipu pada 2014 apabila mendapat tahu pejabatnya ditutup dan berpindah ke tempat lain,” tambahnya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan modus operandi digunakan sindiket didalangi dua individu bergelar Datuk terbabit ialah menjual tanah milik orang lain di sekitar Gombak dan Hulu Langat yang belum bertukar hak milik dengan tawaran harga rendah daripada nilai pasaran.

Laporan menyebut, semua mangsa kerugian antara RM80,000 hingga RM160,000 wang simpanan, malah ada yang mengeluarkan caruman KWSP dan membuat pinjaman persendirian kerana berminat dengan tawaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 7:35 AM