Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


PENETAPAN harga petrol dan diesel secara mingguan akan terus dikekalkan.

Itu reaksi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung cadangan kementerian untuk mewujudkan satu formula khusus bagi membantu pengusaha stesen minyak di seluruh negara.

Hamzah berkata, pihaknya masih menjalankan kajian bagi menentukan satu formula khusus untuk membantu pengusaha stesen minyak menyerap kerugian namun, pada masa sama mengekalkan sistem penentuan harga bahan api secara mingguan.

Menurutnya, berdasarkan kaedah penentuan harga yang dilakukan kini, pengusaha stesen minyak mendakwa mereka mengalami kerugian.

"Sekiranya harga bahan api itu terus turun, dikhuatiri ramai pengusaha stesen minyak akan menutup perniagaan mereka," katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini, hari ini.

Katanya, kementerian sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan Kementerian Kewangan mengenai cadangan formula khusus itu masing-masing pada semalam dan minggu lalu.

Hamzah berkata, kementerian akan memberi kaedah menang-menang kepada semua pihak termasuk syarikat minyak; pengedar dan pengguna.

"Kami akan mengumumkan formula berkenaan selepas perbincangan itu selesai kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 6:02 PM