Mustafar maklumkan tempoh operasi bagi pendaftaran E-Kad di semua kaunter imigresen seluruh negara akan dipanjangkan sehingga 12 tengah malam iaitu pada 28, 29 dan 30 Jun. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


JABATAN Imigresen kecewa kerana masih ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) belum mendaftar Enforcement Kad (E-Kad) Sementara Pekerja Asing sedangkan tempoh diberikan bermula 15 Februari lalu akan tamat 30 Jun ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sehingga 18 Jun lalu, seramai 131,269 PATI hadir bagi melakukan pendaftaran membabitkan seramai 21,789 majikan.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 118,491 E-Kad sudah dikeluarkan di seluruh negara.

"Masih ramai majikan belum mengemukakan pendaftaran pekerja asing dan sasaran kita adalah seramai 400,000 hingga 600,000 PATI didaftarkan bagi E-Kad ini.

"Kita tidak akan melanjutkan tempoh pendaftaran dan bermula 1 Julai, gerakan besar-besaran menggempur PATI dilakukan di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas meninjau pendaftaran E-Kad di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tempoh operasi bagi pendaftaran E-Kad di semua kaunter imigresen seluruh negara akan dipanjangkan sehingga 12 tengah malam iaitu pada 28, 29 dan 30 Jun.

"Justeru, mana-mana majikan sepatutnya mengambil peluang ini untuk mendaftarkan pekerja mereka.

"Sekiranya gagal berbuat demikian, PATI terbabit akan diusir manakala majikan turut dikenakan tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 5:52 PM