Hulu Langat: Mayat lelaki orang kurang upaya (OKU) yang lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika banjir besar di Dusun Tua, di sini, Sabtu lalu, ditemui di dalam Sungai Langat, semalam.

Dalam kejadian jam 2.54 petang, mayat mangsa, Taufik Alias, 23, ditemui berhampiran Tanjung Niah, di sini iaitu satu kilometer dari lokasi hanyut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, mangsa ditemui selepas hampir 48 jam hilang dihanyutkan arus sungai.

“Mangsa sebelum itu dihanyutkan berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua di sini.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk dibedah siasat. Anggota keluarganya turut mengesahkan identiti mangsa,” katanya.

Dalam kejadian jam 4 petang kelmarin, Taufik hanyut ketika kejadian banjir berlaku di IKBN Dusun Tua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 7:05 AM