Mohd Adnan diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM159,053.22, pada 2015 dan tahun lalu. FOTO Sharul Hafiz Zam
Suzalina Halid
am@hmetro.com.my


PENGARAH Pembangunan Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Putrajaya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM159,053.22 bagi melantik enam syarikat sebagai kontraktor membekalkan makanan kepada tabika/taska, pada 2015 dan tahun lalu.

Mohd Adnan Md Daud, 54, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azman Abu Hassan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Adnan yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Pembangunan KEMAS Selangor memperoleh rasuah berjumlah RM73,000 daripada Sah Hizam Halim sebagai upah melakukan dua perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh.

Ia membabitkan kerja membekal susu tepung fasa tiga Tabika/Taska PERMATA kepada Syarikat Perniagaan Naluri Pertama dan menjalankan kerja membekal serbuk malt coklat Tabika/Taska PERMATA kepada Syarikat Alpha Elite Resources.

Mohd Adnan dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Alor Setar, Jalan Sultan Badlishah pada 14 Disember 2016.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Adnan dituduh menerima rasuah berjumlah RM86,053.22 daripada Sah Hizam Halim sebagai upah melakukan tujuh perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh.

Ia membabitkan menjalankan kerja membekal biskut krim kepada Perniagaan Naluri Pertama bernilai RM78,246, membekal dan menghantar susu tepung ke tabika kepada Perniagaan Naluri Pertama bernilai RM123,786.

Ia turut membabitkan kerja membekal dan menghantar makanan tambahan susu tepung kepada One Blue Diamond Enterprise, bernilai RM130, 410, membekal bijirin kepada Golden North Enterprise bernilai RM65, 025.

Selain itu, Mohd Adnan turut dituduh terbabit dalam perbuatan menjalankan kerja membekal dan menghantar biskut ke tabika kepada Syarikat Malbery Enterprise bernilai RM94,702.50, membekal dan menghantar bijirin ke tabika kepada syarikat LD Dinamik Enterprise bernilai RM59,512.50 dan membekal serta menghantar makanan tambahan bijirin kepada LD Dinamik Enterprise bernilai RM61,582.50.

Kelima-lima syarikat terbabit dimiliki dan dalam kawalan oleh Sah Hizam.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu Maybank cawangan Alor Setar Jalan Sultan Badlishah pada 7 Januari 2015.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohd Adnan dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam, Abdul Hadi Ahmad.

Abdul Hadi dalam rayuannya meminta supaya mahkamah mengurangkan wang jaminan berikutan tertuduh mempunyai lapan anak termasuk lima bersekolah dan seorang bayi berusia 55 hari serta mempunyai pendapatan berjumlah RM9,800 namun akaun miliknya sudah dibekukan sejak lima bulan lalu.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 31 Julai ini bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 12:16 PM