ZAINOL Samah
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Bukit Mertajam: Selepas lebih setahun diburu, lelaki, 31, yang bertanggungjawab dalam kejadian samun seorang peniaga barangan kemas di Kuantan, Pahang tahun lalu ditembak mati polis di Jalan Berjaya, Bukit Mertajam, jam 1.25 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, suspek yang dikehendaki selepas melarikan wang tunai RM30,000 milik peniaga emas di Kuantan dikesan memandu sebuah kereta, di sini, sebelum polis mengekorinya.

Difahamkan, ketika cuba ditahan, suspek bertindak melarikan diri sebelum polis mengejarnya dua kilometer.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya kemudian meminta suspek memberhentikan kereta sebelum memintas keretanya.

“Sebaik pihak kami turun untuk pemeriksaan, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

“Pihak kami terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri dan tiada anggota dan pegawai cedera,” katanya.

Menurutnya, polis yang melakukan pemeriksaan kemudian mendapati suspek maut di tempat duduk pemandu.

Katanya, polis juga menemui sepucuk pistol bersama suspek serta beberapa butir peluru dan kelongsong.

Selain itu, katanya, polis juga menjumpai beg pinggang berwarna biru berisi barangan peribadi suspek termasuk sepasang sarung tangan putih, dua topeng muka berwarna hitam, sebilah pisau kerambit serta satu peket besar berisi 16 peket kecil disyaki syabu.

Menurutnya, pemeriksaan pada kereta suspek juga terdapat lapan kesan tembakan di cermin hadapannya.

Beliau berkata, hasil semakan, suspek dikehendaki polis berhubung satu kejadian samun peniaga barang kemas di Kuantan, Pahang tahun lalu membabitkan kerugian RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 5:39 AM