ANGGOTA forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah memeriksa sisa kebakaran sebuah rumah kayu di Kampung Padang Putih, Mukim Kedawang, Langkawi, hari ini. FOTO | Hamzah Osman
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menemui bahan bukti penting berhubung kebakaran sebuah rumah kayu yang mengorbankan seorang wanita di Kampung Padang Putih, Mukim Kedawang di sini, petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM Kedah Mohamad Yunus Abu berkata, bahan bukti itu adalah sebuah pelita minyak tanah ditemui malam semalam selepas anggota forensik JBPM menggeledah tapak kebakaran.

"JBPM masih menjalankan siasatan tetapi tidak menolak kemungkinan berpunca daripada api pelita minyak tanah menyebabkan mangsa yang difahamkan mempunyai masalah mental gagal menyelamatkan diri.

"Rumah yang hangus ini diperbuat daripada kayu dan beratap zink selain tiada bekalan elektrik, manakala siasatan mendapati api bermula dari dalam rumah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Portal Berita Harian Metro semalam melaporkan seorang wanita ditemui rentung dalam kebakaran rumah kayu di Kampung Padang Putih, Mukim Kedawang, Langkawi, di sini.

Dalam kejadian jam 5.35 petang itu, mangsa Siti Rahamah Ab Rahim, 63, ditemui rentung dalam rumah kayu setingkat oleh anggota bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 11:18 AM