KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan di Kilometer 32.2 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di Kampung Tok Bok, malam tadi. FOTO ihsan bomba
Siti Nadzirah Che Mud
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki parah apabila kereta dipandunya terbabas sebelum 'terbang' merempuh pagar dan pokok di hadapan sebuah rumah di Kilometer 32.2 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, di Kampung Tok Bok, Machang, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.25 malam itu, mangsa, Akmal Amar Ahmad, 24, memandu kereta jenis Honda Civic dari arah Machang ke Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, siasatan awal mendapati mangsa cuba memotong kenderaan di hadapan sebelum hilang kawalan lalu terbabas di kiri jalan dan merempuh pagar sebuah rumah.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan, kaki dan kepala.

"Mangsa kini dirawat di Hospital Machang dan kes akan disiasat mengikut kaedah Rule 10 LN 166 /59 kerana memandu dengan cuai sehingga mengakibatkan kemalangan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.28 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan usaha mengeluarkannya dijalankan

"Kami mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak ambulans," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 10:50 AM