Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my


Meskipun mendapat keputusan cemerlang 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun Bilal Kamarudin, 19, memilih terus kekal di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) di Klang, Selangor dalam tingkatan enam.

Menurut anak kelahiran Bangi itu, dia mahu mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sekolah itu untuk menyambung pengajian ke Timur Tengah dalam bidang syariah.

Katanya, selepas mendapat 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Batu 10, Cheras dia memilih menyambung pengajian ke KISAS.

“Saya minat belajar agama dan memilih KISAS kerana sejarah baik sekolah yang melahirkan ramai tokoh hebat tanah air,” katanya.

Katanya, antara alumni KISAS ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Hamid Othman, bekas Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, Pengerusi TV Alhijrah Tan Sri Dr Yusuf Noor, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Pengerusi Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PGSM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan ramai lagi.

Bilal yang juga penerima termuda Anugerah Saidina Ali pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1438 Hijrah tahun lalu berkata, sistem pengajian di KISAS istimewa kerana terdiri daripada guru berpengalaman sebagai penggubal soalan dan pemeriksa kertas peperiksaan awam.

“Guru di sini banyak memberi tip untuk cemerlang dalam peperiksaan dan teknik pembelajaran mudah selain dikelilingi ramai sahabat baik dari pelbagai latar belakang yang sangat membantu dalam pelbagai perkara,” katanya.

Menurut Ketua Umum 1 KISAS itu, walaupun berdepan jadual padat untuk menghadapi STAM tahun ini, namun pelajar perlu kreatif dalam membahagikan masa untuk keperluan diri sendiri dan juga akademik.

“Apabila berada dalam kelas, kita perlu fokus kepada akademik dan di luar pula kita fokus kepada aktiviti kerohanian dan kokurikulum.

“Apa yang menarik di KISAS, pelajar diwajibkan mengikuti usrah dikendali pelajar senior dalam membantu pembentukan sahsiah,” katanya.

Katanya, pelajar agama bukan kelas kedua sebaliknya mempunyai keistimewaan tersendiri kerana belajar pelbagai perkara dan bertanggungjawab menyebarkan ilmu serta memperbetulkan salah faham masyarakat dalam sesuatu perkara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 6:34 AM
PELAJAR bersiap-sedia untuk ke kelas.
PELAJAR mengulang kaji pelajaran di tempat terbuka secara santai.
KELAS gabungan untuk subjek tertentu diadakan di dewan utama.