ANGGOTA bomba memegang tangga sementara mangsa menuruninya.
myMetro

Selayang: Cemas dan panik. Itulah situasi dihadapi dua pekerja kontraktor yang terperangkap di dalam gondola skylift dinaiki setinggi lebih 10 meter akibat masalah hidraulik di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak di sini.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi kelmarin, kedua-dua mangsa berusia 30-an melakukan kerja memasang mentol lampu jalan.

Mereka bagaimanapun tersangkut di atas jentera berkenaan dan terpaksa meminta bantuan anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang.

Ketua BBP Selayang Azrul Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.57 pagi dan sepasukan lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Mangsa mendakwa jentera itu tidak berfungsi secara mendadak menyebabkan mereka menghubungi bomba,” katanya.

Azrul berkata, anggotanya menggunakan tangga jentera bomba untuk membawa mangsa turun dengan selamat.

Katanya, anggota bomba mengambil masa 40 minit untuk membawa mangsa turun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 5:48 AM