Paddy (dua kanan) bersama pegawai JKDM menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah berbahaya di sekitar Petaling Jaya. FOTO Adzlan Sidek
Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan seorang lelaki dan wanita sekali gus menemui pelbagai jenis dadah seberat empat kilogram bernilai RM150,000 di sebuah kondominium mewah di Petaling Jaya, Selangor, Sabtu lalu.

Penahanan kedua-dua suspek berusia 21 dan 42 tahun hasil maklumat orang awam dan risikan dilakukan sejak beberapa minggu lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Paddy Abd Halim berkata, operasi turut dibantu Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA).

"Suspek lelaki ditahan sebaik keluar dari kondominium dan pemeriksaan menemui syabu seberat 5.24 gram. Kami mengarahkan suspek ke rumahnya sebelum menemui seorang wanita bersama pelbagai jenis dadah.

"Antaranya syabu seberat 405.15 gram, ketamin (721.74 gram), ganja (2,961.64 gram), 1,347 biji pil estacy dan 2,780 pil eramin 5.

"Dadah berkenaan dipercayai untuk diedarkan di sekitar Petaling Jaya," katanya pada sidang media di Pejabat Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kampung Jijan Tengah, di sini, hari ini.

Paddy berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menemui wang tunai bernilai RM15,000 dipercayai hasil perjualan dadah.

"Kita juga turut menyita empat kenderaan iaitu Nissan Murano, Toyota Vios, Honda Civic dan Volkswagen Golf GTI.

"Kedua-dua suspek direman sehingga esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 4:43 PM