Kakitangan Jabatan Kesihatan melakukan 'fogging 'bagi menghapuskan nyamuk aedes. FOTO arkib NSTP
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


TERDAPAT peningkatan 101.6 peratus kes demam denggi atau 754 kes berlaku di Kedah bagi tempoh 1 Januari hingga 10 Jun lalu berbanding 380 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, dalam tempoh itu, sebanyak lapan daerah menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Daerah itu ialah Kulim, Kuala Muda, Kubang Pasu, Langkawi, Sik, Padang Terap, Bandar Baharu dan Baling.

“Namun begitu, kita dapati dua daerah menunjukkan penurunan kes demam denggi dalam dua tahun kebelakangan ini iaitu Pendang dan Yan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, walaupun keseluruhan lokaliti wabak menurun serta berada dalam keadaan terkawal, terdapat lima lokaliti wabak denggi yang masih aktif.

“Kawasan itu ialah Taman Selasih IV di Kulim, Kampung Charuk Kit di Sik, Taman Ria Jaya Zon A di Kuala Muda, Kampung Changai di Kubang Pasu dan Kampung Banggol 9 di Padang Terap,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan wabak Chikungunya, Dr Norhizan berkata, dari 1 Januari hingga 10 Jun tahun ini, sebanyak 177 kes direkodkan berlaku membabitkan Kuala Muda, Baling, Pendang, Kulim, Sik dan Kubang Pasu.

“Dalam tempoh itu, kami sudah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di 266,263 premis dan mendapati 5,162 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

"Kami turut mengeluarkan 2,912 kompaun berjumlah RM1,456,000 mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, dan 453 notis bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes," katanya.

Pihaknya turut melaksanakan semburan membunuh nyamuk aedes di 283,491 premis di seluruh Kedah manakala 52,729 premis yang lain pula diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 5:54 PM
Skip this ad x