BOT pam dan ikan yang dirampas APMM dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan. FOTO ihsan APMM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kota Kinabalu merampas bahan letupan bersama 140 kilogram (kg) ikan dipercayai hasil tangkapan menggunakan bom ikan di Pulau Gaya, semalam.

Dalam kejadian 6.35 petang itu, ketika bot ronda Maritim melakukan Operasi Sejahtera berjaya mengesan dua bot pam dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, ketika bot ronda APMM cuba memintas dua bot pam itu, terdapat empat individu bertindak agresif memecut bot berkenaan untuk melarikan diri ke kawasan cetek.

"Dalam masa sama, anggota kita mengesan seorang individu membuang sesuatu objek seperti botol ke laut sebelum melarikan diri dengan terjun ke laut serta meninggalkan bot itu di kawasan cetek berkenaan.

"Bot pam itu dirampas dan hasil pemeriksaan terdapat bahan letupan dan peralatan menyelam dipercayai digunakan untuk tujuan aktiviti menangkap ikan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Adam, turut ditemui pelbagai jenis ikan dianggarkan 140 kg berada di dalam bot berkenaandipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.

"Bot, bahan letupan, peralatan menyelam dan ikan itu dirampas mengikut Akta Perikanan 1985 dan individu yang terlepas melarikan diri itu disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah terlarang seperti bahan letupan," katanya.

Terdahulu, Adam berkata, APMM memandang serius kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah bom dan operasi membendung aktiviti itu dilakukan secara berterusan.

"Sehubungan itu, komuniti maritim khususnya di daerah ini disarankan supaya dapat memberikan maklumat berkaitan aktiviti pengeboman ikan bagi memastikan perairan kita bebas daripada sebarang aktiviti jenayah," katanya.

#kw bom ikan, bahan letupan, bot pam, APMM

#loc 6.0179966, 116.0298475

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 3:40 PM