Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my

Kota Bharu: Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, penyeludup beras semakin licik apabila menggunakan guni bercap Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk membawa bekalan berkenaan dari negara jiran ke pasaran sekitar Selangor.

Bagaimanapun, modus operandi penyeludup dapat dihidu sepasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan yang berjaya merampas 35,000 kilogram (kg) beras bernilai RM175,000 yang cuba diseludup dalam treler di Merapoh, Pahang, kelmarin.

Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata, pihaknya merampas treler bernilai RM80,000 dan menahan pemandu lelaki berusia 57 tahun dalam serbuan jam 5 petang.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan RM255,000.

“Selepas mendapat maklumat awam, kami mengekori treler dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga ke Merapoh, Pahang sejauh 215 kilometer (km) dan menahan kenderaan berkenaan kerana mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas treler, kami menemui 700 kampit beras dibungkus di dalam guni 50kg menggunakan cop tempatan disyaki diseludup dari Thailand. Mereka menggunakan guni cop tempatan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Hasil siasatan bekalan beras itu dalam perjalanan ke Subang, Selangor kerana mendapat permintaan tinggi dan dibungkus kembali dalam peket lima kilogram dan 10kg,” katanya di pejabat Kawal Selia Padi dan Beras Negeri, Lundang, di sini, semalam.

Katanya, beras terbabit dibawa masuk dengan bot menerusi pangkalan haram di sekitar Pengkalan Kubor.

“Beras dan pemandu treler diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras, Bahagian Industri Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Kelantan untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994(Akta 522),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 12:18 PM
MOHD Asri (kanan) menunjukkan beras seludup yang dirampas.