Motosikal mangsa rosak teruk selepas terlanggar bahagian belakang bas ekspres berhampiran Simpang lampu isyarat Jalan UMS, Kota Kinabalu. FOTO ihsan pembaca
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


PENUNGGANG motosikal maut selepas kenderaannya dipercayai terlanggar belakang bas ekspres yang membawa pemain skuad Sarawak dalam kemalangan berhampiran simpang lampu isyarat Jalan UMS, Kota Kinabalu, malam tadi.

Dalam kejadian 7.40 malam itu, penunggang lelaki berusia 20-an dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian manakala semua penumpang bas ekspres tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, ketika kejadian bas ekspres itu dalam perjalanan dari penginapan di One Borneo menuju ke Stadium Likas dan membuat pusingan U.

Secara tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa dipercayai terlanggar di bahagian belakang bas ekspres.

Kejadian itu turut mengakibatkan aksi persahabatan bertemu Sabah di Stadium Likas, yang sepatutnya berlangsung 9 malam tadi ditangguh ke 9.45 malam.

Skuad Sarawak kini berada di Kota Kinabalu bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan iaitu dua aksi bertemu skuad senior serta satu aksi bertemu skuad Piala Presiden Sabah.

Sepasukan polis trafik berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan mengawal keadaan lalu lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 10:10 PM