ABD Latif diiringi pegawai SPRM ke mahkamah. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi @ Nor Sebandi, 51, tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, 8.50 pagi, hari ini.

Beliau dijangka berdepan tuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 bersama dua individu yang lain.

Dua individu berkenaan adalah anak Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub.

Beberapa ahli keluarga beliau juga didapati berada di perkarangan mahkamah.

Padi 19 April lalu, Abd Latif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, bersama seorang perunding hartanah mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan berasingan membabitkan nilai suapan RM30.3 juta di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Abd Latif, 51, bersama Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi beberapa projek.

Amir Shariffuddin turut didakwa menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd Latif untuk melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera itu dan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.

Kesemua kesalahan dilakukan antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu di beberapa lokasi.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibacakan bersama Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 24 akta sama yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada awal Mac lalu, SPRM menahan enam individu termasuk anak Abdul Latif dan pegawainya sebelum mereka dibebaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 9:45 AM