Keadaan Jalan Bahau - Keratong sekarang yang perlu dinaik taraf dan kanan, kemalangan mengorbankan lapan orang di jalan berkenaan, Ahad lalu. - Foto ABNOR HAMIZAM/Fail
BERNAMA

JABATAN Kerja Raya (JKR) akan mengkaji keperluan menaik taraf Jalan Bahau-Keratong, Jempol, selepas menerima laporan statistik kemalangan jalan raya yang berlaku di jalan terbabit.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Dr Roslan Md Taha berkata, perkara itu kini dalam penelitian Bahagian Pakar Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR, sebelum cadangan dibuat.

"Kita sedang mendapatkan laporan statistik kemalangan daripada polis. Jika kajian mendapati jalan itu perlu dilebarkan maka tindakan susulan akan dibuat. Semua ini belum diputuskan lagi.

“Saya berharap pada Rabu depan, kita akan tahu tindakan yang akan dicadangkan (Bahagian Pakar Cawangan Jalan). Saya akui ada beberapa bahagian tertentu jalan perlu dinaik taraf," katanya di Seremban, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat keperluan menaik taraf jalan yang dikatakan sempit dan beralun itu.

Ahad lalu, lapan maut dengan enam daripadanya rentung manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan sebuah treler muatan kelapa sawit di KM25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, mereka yang maut ialah enam sekeluarga yang menaiki kenderaan Proton Exora iaitu pemandu kenderaan berkenaan Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 52, dan isteri Masnoraida M Yussof, 44.

Turut terkorban empat anak mereka, Wan Muhammad Muhaimmin, 21, Wan Athira, 18, Wan Mohd Ammar Haziq, 13, dan Wan Nur Aiesya, 7. Kesemua pemandu dan penumpang Proton Exora rentung dalam kejadian itu.

Dua lagi yang terkorban ialah pemandu dan penumpang Perodua Myvi, Osman Mohamed Taip dan Rosniza Othman, manakala anak mereka Muhammad Alifthaqif Osman, 3, cedera dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

Mengulas lanjut, Roslan berkata jalan itu menetapkan had laju 90 kilometer sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 6:04 PM